Hanya tujuh penduduk di Kampung Bandar - Utusan Malaysia

Hanya tujuh penduduk di Kampung Bandar

AZMAN Basir tetap tinggal di Kampung Bandar, Pasir Salak, Perak walaupun penempatan itu semakin sunyi berikutan hanya diduduki tujuh orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: “Saya tidak akan tinggalkan kampung ini walaupun sunyi kerana kurang penduduk’.

Demikian pendirian Azman Basir, 56, penduduk Kampung Bandar di sini yang sepi kerana hanya diduduki tujuh orang.

Penduduk paling tua di kampungnya itu berkata, dia akan menghabiskan usia di situ kerana sayangkan tempat kelahirannya walaupun suasana semakin sunyi.

Katanya, dia keberatan berhijrah kerana memiliki tanah pusaka yang kini diusahakan dengan tanaman sayur.

“Saya tak mahu pindah walaupun kampung ini semakin sunyi. Orang tua saya ada tinggalkan tanah, rugi kalau tidak diusahakannya.

“Jiwa orang tua seperti saya sesuai dengan suasana di sini. Tinggal di kampung lagi seronok, berasa damai apatah lagi kampung ini di tepi sungai,” katanya ketika ditemui di sini.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Kampung Gajah, Kampung Bandar atau ‘bando’ mengikut sebutan penduduk tempatan disifatkan sebagai kampung pa­ling sunyi apabila diduduki ha­nya tujuh orang.

Penempatan itu yang sebelum ini mempunyai ramai penduduk kini sepi ekoran penghijrahan bagi mencari peluang pekerjaan selain sering dilanda banjir.

Menceritakan sejarah kampung berkenaan, Azman berkata, suatu ketika dahulu ia pe­nempatan yang sibuk kerana pusat pentadbiran daerah.

Menurutnya, berdasarkan sebutan ‘bando’ dalam loghat tempatan bermaksud pelabuhan, merujuk kepada sebuah pelabuhan yang pernah wujud di kampung berkenaan.

“Kedudukannya di tepi Su­ngai Perak menjadikannya sebagai lokasi sesuai untuk aktiviti perniagaan menerusi sungai.

“Menurut cerita orang tua-tua, ramai pedagang luar termasuk orang Cina yang membuka perniagaan di sini. Itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa sibuknya kampung ini sebagai sebuah pusat perniagaan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan faktor ekonomi, ramai penduduk yang berhijrah ke tempat lain mulai 1990-an untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Ketika itu, katanya, ramai penduduk kampung itu me­nyertai tanah rancangan Felcra di Seberang Perak, di sini.

“Penduduk juga berpindah disebabkan kawasan ini sering dilanda banjir menyebabkan tanaman durian dan kontan yang rosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN