KUALA LUMPUR: Kumpulan Etiqa Insurance & Takaful menyasarkan peningkatan jualan keseluruhan di seluruh pasaran syarikat insurans itu kepada RM9 bilion tahun ini berbanding RM8 bilion yang dicatatkan pada 2019.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance & Takaful, Kamaludin Ahmad, unjuran berkenaan didorong oleh peningkatan kepada akses digital Etiqa yang semakin mendapat perhatian dalam tempoh beberapa bulan ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau meluahkan keyakinan bahawa sasaran RM9 bilion itu mampu dicapai apatah lagi Etiqa telah berjaya mencecah jualan bernilai RM6.7 bilion setakat Ogos lalu.
Kamaludin berkata, segmen insurans nyawa dijangka memberi sumbangan tinggi kepada pertumbuhan jualan itu manakala insurans am seperti kenderaan dan hartanah agak mencabar didorong oleh ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
“Jika lihat kepada setiap negara yang kami tembusi, Singapura dijangka memberi sumbangan kira-kira 25 peratus manakala negara-negara lain iaitu Filipina, Indonesia dan Kemboja masing-masing sekitar 5.0, 2.5 dan di bawah satu peratus. Kami dapat merasai peningkatan positif bagi perniagaan di Singapura tahun ini.
“Kami mahu sentiasa meningkatkan kesedaran jenama di negara-negara yang Etiqa tembusi tetapi semuanya masih agak baharu, mungkin komuniti tempatan di sesebuah negara itu belum mengenali (Etiqa).
“Walaupun begitu, di Singapura yang sebenarnya kami menghadapi banyak saingan daripada syarikat-syarikat insurans lain tetapi Etiqa telah berjaya membina reputasi dan kini lebih selesa di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam masa yang sama, Kamaludin menjangkakan industri insurans bagi separuh kedua tahun ini semakin mengalami pemulihan sekali gus menyaksikan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu.
Katanya, prestasi baik yang direkodkan pada separuh pertama tahun lalu dibantu oleh pasaran pelaburan yang menyebabkan peningkatan nilai bon.
“Pendapatan kita meningkat disebabkan penurunan hasil dalam pasaran pelaburan tetapi untuk separuh kedua tahun lalu tidak berapa kukuh. Sama juga untuk separuh kedua tahun ini tetapi InsyaAllah akan saksikan peningkatan lebih sedikit berbanding tahun lalu.
“Namun begitu, berapa banyak peningkatan itu agak sukar untuk diramalkan kerana perniagaan insurans ini lebih bersifat jangka panjang. Variasi peningkatan sentiasa ada tetapi secara berperingkat dalam jangka panjang.
“Apa yang penting, kami mahu dikenali sebagai syarikat insurans yang mementingkan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti. Menyelesaikan segera tuntutan, memudahkan urusan dan memberi nasihat terbaik. Jika semua itu dikekalkan, secara logiknya jualan akan terus meningkat,” katanya. UTUSAN










