Bukan omong kosong: Anak muda harap penubuhan parti Syed Saddiq beri impak positif - Utusan Malaysia

Bukan omong kosong: Anak muda harap penubuhan parti Syed Saddiq beri impak positif

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pastikan suara anak muda diangkat dan terbela, jangan biarkan penubuhan parti sekadar retorik dan omong kosong semata-mata.

Begitu harapan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang, Sarawak, Nur Farihah Ahmad Putera, 18, terhadap penubuhan parti golongan muda yang digerakkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagi Nur Farihah, tujuan penubuhan parti tersebut cukup baik namun menjadi tanggungjawab besar buat Syed Saddiq bagi memastikan ia betul-betul dapat mengangkat martabat golongan muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau perlu terlebih dahulu meneliti kembali penerimaan dan kesediaan masyarakat terutama golongan belia sendiri. Contohnya, kemampuan golongan belia untuk memimpin khususnya dari segi latar belakang pendidikan mereka.

“Hal ini bagi memastikan mereka yang terlibat dalam parti tidak sekadar menabur janji manis tetapi akhirnya kecundang. Perlu lebih serius agar masyarakat tidak hilang kepercayaan terhadap kemampuan beliau dan parti yang akan dipimpin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Hazwan Haziq Zainidar, 22, berpendapat parti tersebut mampu menjadi platform anak muda sepertinya menyuarakan pendapat dan menimba pengalaman dalam kepemimpinan.

“Parti ini merupakan saluran tambahan untuk orang muda menyuarakan pendapat. Paling penting, dengan adanya parti ini, anak muda akan lebih tertib dalam bersuara.

“Saya harap parti yang ditubuhkan dapat memberi ruang untuk orang muda memimpin, tak kira peringkat tinggi atau rendah,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ivanatasha Abdul Majid, 21, yang melihat penubuhan parti itu adalah ideal dalam situasi politik semasa.

“Saya percaya idea ini timbul rentetan konflik yang kerap berlaku di Parlimen apabila ahli Parlimen senior merendahkan kredibiliti ahli Parlimen muda dengan pelbagai label seperti ‘budak kecil’ dan sebagainya.

“Harapan saya agar penubuhan parti ini akan memberikan impak terhadap negara terutama dalam isu orang muda. Sudah tiba masanya pemerintahan beralih kepada para profesional muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini