GOPENG: Usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan yang hilang semasa larian Gopeng Ultra Trail tahun lalu masih diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).
Setakat ini, kes kehilangan Mohammad Ashraf, 30, atau Acap masih aktif malah JBPM sentiasa berusaha mengesan petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan lelaki itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya masih berhubung dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan maklumat tertentu di samping informasi orang awam yang boleh membantu.
Katanya, terbaharu JBPM menggerakkan 150 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) JBPM dalam Latihan Pengoperasian Storm 2020 Peringkat Zon Utara Khas di Gua Tempurung, di sini malangnya belum berhasil.
“Kita menamatkan latihan lasak sejauh 25 kilometer semalam termasuk membabitkan laluan GUT19 iaitu kedudukan terakhir Acap dipercayai hilang.
“Sepanjang laluan ini anggota Storm meneliti kawasan sekitar untuk mengesan petunjuk jika ada seperti cebisan pakaian, kasut dan lain-lain yang membabitkan mangsa tetapi tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Gua Tempurung, semalam.
Mohamad Yunus berkata, disebabkan tiada sebarang petunjuk, maka pencarian susulan tidak dapat diteruskan.
Bagaimanapun katanya, pasukan bomba dan penyelamat bila-bila masa bersedia melakukan pencarian baharu sekiranya menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak.
Pada 17 April tahun lalu, polis mengumumkan operasi mencari Acap ditangguhkan sementara selepas pencarian selama 24 hari tidak menemukan petunjuk baharu. – UTUSAN ONLINE










