Bank Rakyat meterai perjanjian sukuk RM10 bilion - Utusan Malaysia

Bank Rakyat meterai perjanjian sukuk RM10 bilion

Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Abd Rani Lebai Jaafar (dua dari kiri) dan wakil-wakil bank pelaburan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (empat dari kanan) dan Rosman Mohamed (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menandatangani perjanjian Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Penerbitan sukuk tersebut akan dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Berhad dengan kerjasama Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat dan Penyusun Utama manakala Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai Pengurus Utama Bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, penerbitan sukuk tersebut dapat membantu menstabilkan pendanaan serta membantu bank itu menguruskan kecairan dan liabiliti dengan lebih baik.

“Sukuk ini dana jangka panjang. Ideanya adalah untuk menstabilkan pendanaan selain menjadi sebahagian daripada pengurusan kecairan.

“Sukuk ini kita tawarkan dari tiga ke lima tahun dan mungkin sampai ke tujuh tahun. Jadi kesannya, pendanaan kita stabil,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini semalam.

Menurut beliau, sukuk tersebut menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dan pelabur yang telah mula menghubungi mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang sukuk tersebut.

Penerbitan pertama sukuk tersebut dijangka akan bermula dalam waktu terdekat dengan saiz terbitan sebanyak RM500 juta dengan pilihan untuk me­ningkatkan terbitan.

Program penerbitan sukuk tersebut distruktur berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar yang telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Berhad.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut hadir dalam program tersebut berkata, beliau yakin dengan penerimaan orang ramai serta pelabur terhadap sukuk tersebut.

“Walaupun kita hanya beri sedikit maklumat kepada umum, ramai yang bertanya saya tentang potensi dan pula­ngan (sukuk tersebut),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN