Ahli perniagaan dituduh minta, terima rasuah kira-kira RM600,000 - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan dituduh minta, terima rasuah kira-kira RM600,000

PENGANGGUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 daripada seorang ahli perniagaan lain tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta daripada Goh Choon Kim suapan wang sebanyak AS$150,000 (RM622,500 nilai kini) sebagai dorongan kononnya boleh membantu menyelesaikan kes siasatan ke atas Choon Kim oleh polis Bukit Aman di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Vangohh Eminent Hotel, Bukit Mertajam di sini antara 30 hingga 31 Mac 2019 kira-kira pukul 5 petang.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah menerima wang sebanyak RM615,000 daripada Choon Kim untuk menyelesaikan kes tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Global Tobacco Manufactures Sdn. Bhd. di Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini pada 1 April 2019 kira-kira pukul 5 petang.

Bagi kedua-dua kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, S. Selvaranjini, manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 berserta dua penjamin selain dia perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport.

Kes itu akan disebut semula pada 23 Oktober depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya