TEMCO: Tiga sekatan  dilaksanakan di Kuala Sanglang - Utusan Malaysia

TEMCO: Tiga sekatan  dilaksanakan di Kuala Sanglang

ANGGOTA polis membawa kon dalam kenderaan pacuan empat roda sebagai persediaan sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chin Hun, Sanglang, Perlis malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tiga sekatan jalan raya diadakan di laluan keluar masuk Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di kawasan itu bermula malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, lokasi yang terlibat adalah simpang tiga Jalan Padang Keria iaitu antara Jalan Simpang Empat dan Kuala Sanglang serta hadapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang yang terletak antara Jalan Kuala Perlis dan Kuala Sanglang.

Katanya, sekatan turut diadakan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chin Hun iaitu antara sempadan Jalan Kuala Sanglang Perlis dan Kedah.

“Kami tempatkan tiga sekatan dengan setiap pasukan melibatkan kekuatan sebanyak 20 orang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa kon mula hadir ke lokasi tersebut sekitar pukul 9.50 malam. 

Turut dilihat di lokasi terbabit adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malam tadi, kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul selama 28 hari bermula malam tadi sehingga 4 September ini..

Pelaksanaan perintah tersebut dibuat selepas kerajaan negeri mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Perlis mencatatkan 11 kes positif Covid-19 di kawasan Kuala Sanglang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang merupakan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pesakit pertama daripada kluster Sivagangga di negeri ini.

Susulan itu, seramai 872 orang penduduk di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul diminta membuat ujian saringan Covid-19. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya