KUBANG PASU: Peniaga di pekan Napoh di sini masih bergelut untuk bangkit semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) bagi Kluster Sivagangga ditamatkan sejak 7 September lalu.
Bagaimanapun situasi sekarang mendapati perniagaan mereka agak sukar berikutan penularan Covid -19 yang semakin serius di negara ini termasuk di Kedah.
Seorang peniaga kedai makan, Mohd. Hadi Abd. Halim, 40, berkata, dia membuka semula perniagaannya selepas lebih sebulan ditutup namun jumlah pelanggan berkurangan.
Katanya, peniaga di sini mungkin mengambil lama untuk pulih semula disebabkan Kluster Sivagangga serta penularan Covid-19 bagi kluster lain juga semakin serius di seluruh negara termasuk di negeri ini.
“Walaupun pekan Napoh terletak di tepi lebuh raya ke Bukit Kayu Hitam, namun orang ramai tidak singgah makan di sini dan pelanggan saya cuma dalam kalangan penduduk tempatan sahaja,” katanya di sini hari ini.
Temco bagi Kluster Sivagangga bermula pada 28 Julai dan berakhir pada 7 September lalu dan seramai 45 penduduk disahkan positif Covid-19 manakala jumlah penduduk yang melakukan saringan pula lebih 5,500 orang.
Sementara itu, seorang peniaga peralatan komputer di RTC pekan Napoh, Khalib Abd. Hamid, 43, pula berkata, perniagaannya merosot lebih 60 peratus apabila pengunjung berkurangan berbanding sebelum merebaknya Kluster Sivagangga.
“Saya mungkin beralih kepada perniagaan dalam talian sebagai sumber pendapatan baharu memandangkan penularan wabak itu mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih,” ujarnya.
Seorang pembantu kedai gambar dan fotostat, Nurul Syifa Mahamad Zain, 22, berkata,
sebelum ini, peniaga di sini mengharapkan mereka dapat bangkit semula selepas Kluster Sivagangga berakhir, namun harapan mereka mungkin tidak tercapai memandangkan wabak tersebut didapati masih serius di negeri ini. – UTUSAN










