Pelitup muka: Tiga dikompaun di Melaka - Utusan Malaysia

Pelitup muka: Tiga dikompaun di Melaka

KERAJAAN mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum bermula 1 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengeluarkan sebanyak tiga kompaun kepada orang awam di negeri ini selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia termasuk satu kompaun RM1,000 kerana kegagalan memakai pelitup muka selepas pemakaiannya ditempat awam diwajibkan kerajaan 1 Ogos lalu.

“Kompaun pertama dikeluarkan kepada peniaga sebuah kedai runcit di Jalan Bendahari pada pukul 4.45 petang Sabtu lalu.

“Dia didapati gagal memakai pelitup muka sebelum dibawa ke balai polis untuk dikompaun RM1,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, individu kedua dikompaun adalah pemilik premis di Taman Kota Laksamana Seksyen 1 yang didapati menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan iaitu pukul 12.20 tengah malam semalam.

“Kompaun ketiga dikenakan terhadap seorang wanita yang juga pemilik kedai runcit di Taman Malim Jaya pukul 6 petang semalam.

“Ia susulan pemeriksaan mendapati wanita itu tidak menyediakan alat memeriksa suhu di premis miliknya,” katanya.

Tambah Eng Lai, ketiga-tiga mereka dikehendaki membayar kompaun di pejabat kesihatan daerah dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Pada 23 Julai lalu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum bermula 1 Ogos lalu.

Langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Mereka yang masih gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya