Ketua Hakim Negara antara terima gelaran Tun - Utusan Malaysia

Ketua Hakim Negara antara terima gelaran Tun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mendahului senarai 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 dengan menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Tengku Maimun, 61, merupakan wanita pertama yang dipilih menerajui institusi kehakiman negara dengan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada Mei 2019.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama yang membawa gelaran Tun ialah Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Arshad Ayub.
Adat Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya di sini hari ini dan menerima perkenan untuk dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatu­ddin Ál-Mustafa Billah Shah.
Dalam adat istiadat itu juga, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pula menerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Dua lagi yang menerima gela­ran dan darjah kebesaran yang sama ialah Panglima Ang­katan Tentera, Jen. Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagi darjah kebesaran Pang­lima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri, terdapat 12 penerima yang didahului dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Presiden Sunway Group Bhd., Datuk Chew Chee Kin; Presiden Majlis Olim­pik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Ahmad Nizam Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Bhd., Datuk R. Doraisingam dan Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Gan Yu Chai.
Turut sama menerima darjah PSM ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Sena Group of Companies, Datuk Tan Boon Hock; Panglima Tentera Darat, Jen. Datuk Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Udara, Jen. Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Maz­lan Mansor.
Dalam pada itu, seramai 29 penerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Dr. Habibah Abdul Rahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Hakim Mahkamah Rayuan Mahkamah Rayuan Malaysia, N.P Ravinthran; Ke­tua Pengarah Keselamatan Negara (Majlis Keselamatan Negara), Mohd. Rabin Basir; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Turut menerima darjah kebesaran itu Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion; Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran,Datuk Dr. Mohd Gazali Abas, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed.
Bagi darjah Panglima Setia Diraja (PSD) juga membawa gelaran Datuk, empat penerima iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Ismail; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Roziah Abudin; Ketua Unit Endokrin Pejabat Ketua Unit Endokrin Jabatan Perubatan Am Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mahathar Abd. Wahab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya