Ketidakpatuhan SOP punca kes meningkat - Utusan Malaysia

Ketidakpatuhan SOP punca kes meningkat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Trend peningkatan kes Covid-19 dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dapat dilihat apabila terdapat sekumpulan kecil individu gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja membahayakan ahli keluarga dan saudara-mara malah mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19.

“Kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Pihak berkuasa juga bersedia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak di kawasan tertentu,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri melancarkan logo dan slogan Kempen Pembudayaan Norma Baharu iaitu ‘Bersama Hentikan Wabak Covid-19’.

Beliau turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang mengandungi pelbagai penerangan dan infografik sebagai panduan serta rujukan orang ramai.

Muhyiddin berkata, difahamkan terdapat beberapa negara sedang berusaha menghasilkan vaksin dengan perkara itu besar kemungkinan mengambil sedikit masa iaitu pada awal 2021.

Sehubungan itu, kata beliau, Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa menerusi pasukan petugas rentas kementerian yang ditubuhkan pada April lepas.

“Usaha ini bagi meneroka peluang untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan negara-negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin serta ubat-ubatan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh kerajaan bertujuan meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguat kuasa dalam memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian pandemik tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya