Amanah sedapkan hati calon Pejuang - Utusan Malaysia

Amanah sedapkan hati calon Pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa penyokong parti itu akan membuat undi protes atau tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai terdesak dan cuba memberi harapan kepada calon Bebas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam beberapa PRK sebelum ini, penyokong Pas dilihat tiada masalah memberi undi kepada UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Kata beliau, para pemimpin serta penyokong Pas juga sentiasa membantu gerak kerja dan kempen bagi membantu kemenangan BN di PRK tersebut.

“Itu telahan dia (Mohammar Nizar) bagi menyedapkan hati dan memberi motivasi kepada calon Pejuang. Sebelum-sebelum ini, Amanah juga sering mengeluarkan kenyataan sama seperti itu (penyokong Pas tidak undi BN).

“Sudah banyak kali PRK, kita lihat penyokong Pas turut membantu mengundi calon BN dan saya rasa PRK Slim ini juga tidak ada masalah untuk kita membantu kemenangan BN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan penyokong Pas kini dalam dilema susulan fatwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mewajibkan anggota parti mengundi calon BN pada PRK Slim.

Mohammad Nizar dilaporkan berkata, Pas belum pernah mengeluarkan fatwa mewajibkan penyokongnya mengundi calon dari parti lain sekali gus dijangka mereka yang tidak bersetuju dengan kerjasama UMNO dan Pas itu akan membuat undi protes atau tidak keluar mengundi dalam PRK tersebut.

Sementara itu, Hashim berkata, ahli Pas sentiasa mengikut saranan dan patuh dengan kepemimpinan termasuk dalam soal mengundi calon BN.

“Saya juga melihat calon BN mempunyai peluang cerah untuk menang dalam PRK Slim sehingga membuatkan pembangkang termasuk Amanah cukup resah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya