SPRM: Sindiket kaut duit guna SMS tumpas - Utusan Malaysia

SPRM: Sindiket kaut duit guna SMS tumpas

LAPAN individu termasuk pengarah syarikat yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil memanipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk pengarah syarikat yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil memanipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit.

Kesemua individu berusia 38 hingga 44 tahun terdiri daripada pengarah syarikat dan kakitangan teknikal tiga buah syarikat itu ditahan di sekitar Lembah Klang, petang semalam.

Menurut sumber, kelapan-lapan individu tersebut menerusi tiga syarikat yang disiasat telah menyediakan perkhidmatan ‘sms content services provider’ iaitu penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbayar kepada pemegang telefon bimbit di seluruh negara. 

Bagaimanapun, jelas sumber, syarikat ini dipercayai menghantar SMS berbentuk promosi atau untuk perkhidmatan tertentu kepada pelanggan tanpa persetujuan serta mengenakan bayaran tertentu. 

“Pengguna akan dikenakan caj tertentu bernilai 50 sen hingga RM4 bagi setiap SMS yang dihantar tanpa disedari pengguna serta menyasarkan pengguna yang menggunakan telefon kad prabayar.

“Selain keuntungan yang dikutip secara haram daripada pengguna telefon bimbit, mereka juga membuat tuntutan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi (service provider) sebagai caj perkhidmatan. Daripada hasil haram itu, sindiket ini telah mengaut keuntungan berganda,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, sindiket itu dipercayai telah merasuah kakitangan di syarikat-syarikat telekomunikasi bagi mencuri dan mendedahkan nombor-nombor dan butir-butir peribadi pengguna untuk disalah gunakan.

“Ini merupakan kesalahan yang amat serius dari segi pembocoran dan kecurian maklumat peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” ujarnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan ke atas lapan individu terbabit dan siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN