KUALA LUMPUR: Usaha membangunkan ekonomi pasca Covid-19 perlu seimbang dengan pemuliharaan alam sekitar dan kini adalah masa terbaik untuk ‘membersihkan’negara.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, aktiviti manusia yang terencat dan kebanyakan kilang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tiga bulan, telah menyumbang kepada kesan positif alam sekitar.
“Indeks Pencemaran Udara (IPU) turun sehingga 14 peratus dan berlaku peningkatan kualitiair yang dikenal pasti melalui bacaan stesen pemantauan air automatik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Meenakshi, akibat gagal menguruskan alam sekitar sebelum ini, manusia terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang sehingga kini meragut ratusan ribu nyawa.
Beliau mencadangkan tiga langkah utama yang perlu mendapat pertimbangan semua pemegang taruh iaitu memandang serius impak perubahan iklim, menangani masalah pemuliharaan hutan, tanah, sungai dan bekalan
air serta kawalan pencemaran toksik, bahan kimia dan sisa.
Katanya, tiada aktiviti komersial lebih penting berbanding memulihara alam sekitar memandangkan kos yang tinggi diperlukan sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir kilat kelak.
“Pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan lainlain adalah penting tetapi harus seimbang dan berorientasikan keprihatinan terhadap alam sekitar dan kualiti hidup. Ia perludiutamakan dalam membuat
keputusan.
“Perlu disedari alam sekitar dan sumber asli adalah asas kepada ekonomi dan ia menetapkan parameter berapa banyak pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan,” katanya.
Meenakshi turut menegaskan, usaha menambah baik pengurusan alam sekitar negara ini perlu dibuat secara besar-besaran.
Sebagai contoh, katanya, selain menghenti atau mengurangkan pembalakan hutan secara drastik, usaha pencegahan banjir turut perlu melibatkan perubahan kawasan bandar di negara ini kepada ‘bandar span’.
Ini bagi meningkatkanpenyerapan hujan ke bawah tanah untuk mengelakkan melimpah ke kawasan sungai sehingga menyebabkan banjir kilat.
“Begitu juga dengan usaha-usaha yang dijalankan kerajaan sebelum ini seperti penubuhan
Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN), Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia
(MGCC) serta pengkajian semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu diteruskan,” katanya – UTUSAN ONLINE








