UMNO Terengganu perlu bangkit semula - Utusan Malaysia

UMNO Terengganu perlu bangkit semula

ABDUL RAHMAN BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: UMNO Terengganu perlu bangkit semula dengan semangat baharu bermula dari awal sekiranya mahu memberi cabaran kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Bekas Ahli Parlimen Marang yang terkenal dengan julukan ‘Giant Killer’ setelah berjaya menewaskan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebanyak dua kali di Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata, beliau mendapati kepimpinan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri masih tidak bergerak untuk kembali mendekati rakyat selepas tewas teruk dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurutnya, UMNO Terengganu sepatutnya mula mengatur strategi baharu yang lebih berkesan untuk menarik semula sokongan rakyat kepada parti Melayu terbesar itu.

Katanya, selepas PRU15 lalu rakyat didapati semakin menjauhi UMNO dan usaha perlu diambil segera bagi meyakinkan semula pengundi bahawa UMNO masih relevan untuk membela nasib rakyat pada masa hadapan.

“Saya cadangkan UMNO memperkenalkan semula program untuk membangkitkan semula semangat seluruh ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat seperti ‘Gelombang Biru’ sebagai persediaan awal untuk merampas semula Terengganu daripada Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, UMNO juga perlu lebih mesra dengan pengundi muda yang menjadi penentu kerajaan yang bakal menerajui negara selepas ini.

“Perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana kebanyakan peti undi saluran pengundi muda di negeri ini memihak kepada Pas kesan hasil kempen berterusan parti itu mendekati anak-anak muda,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, ahli-ahli UMNO lama dan pengundi atas pagar juga tidak wajar dipinggirkan sebaliknya perlu dikunjungi selalu agar mereka kekal setia memberi sokongan kepada UMNO.

Jelasnya, beliau percaya ahli-ahli UMNO masih menaruh keyakinan kepada parti itu sekiranya mereka diberi pendedahan mengenai perjuangan UMNO dalam membela rakyat.

“UMNO masih mempunyai peluang untuk merampas semula Terengganu walaupun pengaruh Pas didakwa semakin kuat sekiranya pemimpin UMNO bijak mengatur strategi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN