Kawalan pergerakan dua minggu di Sarawak - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Kawalan pergerakan dua minggu di Sarawak – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Pusat meluluskan permohonan kerajaan negeri Sarawak mengehadkan pergerakan perjalanan antara zon di negeri itu dari 1 sehingga 14 Ogos ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak dua zon akan dihadkan pergerakan perjalanan.

Menurutnya, zon 1 membabitkan bahagian Kuching, Serian dan Samarahan iaitu zon kuning/merah) manakala zon 2 bagi bahagian Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah,
Bintulu, Miri dan Limbang merupakan zon hijau.

“Mana-mana individu ingin bergerak antara zon hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia manakala pergerakan dalam zon dibenarkan.

“Jumlah penerbangan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke Sarawak akan dikurangkan mulai 1 sehingga 14 Ogos.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah tegas dan proaktif mengekang penularan wabak Covid-19 khususnya di bandar raya Kuching.

Katanya, kerajaan juga mengambil keputusan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pertukaran anak kapal (Sign On dan Sign Off).

Bagi anak kapal yang hendak menjalani proses Sign On, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

“Sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan. Bagi yang negatif pula, mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13.

“Jika negatif, mereka akan dibenarkan untuk menjalani proses Sign On di pelabuhan,” ujarnya.

Bagi proses Sign Off pula, kata Ismail Sabri, anak kapal perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di pelabuhan. Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Jika anak kapal terbabit didapati negatif, mereka perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin dan disaring kali kedua pada hari ke-13.

“Sekiranya negatif, mereka dibenarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negara masing-masing. Kos kuarantin wajib 14 hari termasuk kos ujian saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan anak kapal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN