93 kilang sekitar Pasir Gudang dikenakan kompaun - Utusan Malaysia

93 kilang sekitar Pasir Gudang dikenakan kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 93 kompaun dikeluarkan terhadap kilang-kilang yang beroperasi sepanjang Sungai Selangkah, Pasir Gudang di atas pelbagai kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, selain itu dua penahanan kelengkapan operasi dan 26 Notis Arahan juga dikeluarkan menerusi 85 pemeriksaan terhadap pihak terlibat.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan kesemua notis itu melalui Op Gempur dengan menyasarkan semua kilang sepanjang Sungai Selangkah pada 6 hingga 8 Ogos lalu. 

“JAS akan terus meningkatkan penguatkuasaan ke atas premis industri dan mengadakan operasi seperti ini secara berterusan. 

“Oleh itu, saya mengingatkan semua industri supaya mematuhi undang-undang dan memelihara alam sekitar Pasir Gudang. Tindakan tegas akan diambil bagi sebarang pelanggaran akta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kata Vidyananthan lagi, pasukan JAS Johor juga telah melakukan ujian analisa terhadap Sungai Selangkah pada 25 Jun lalu setelah menerima aduan pencemaran sungai.

Ujarnya, keadaan sungai adalah berminyak dan mendapati persekitaran berbau minyak dan cat sewaktu tiba di lokasi.

“Tiada sebarang punca pencemaran ditemukan sebaik sahaja JAS melakukan pemantauan di sungai terlibat,” katanya.

Katanya, bagi tujuan pengawasan kualiti alam sekitar, persampelan telah dilakukan mendapati keputusan ujian terhadap air Sungai Selangkah menunjukkan tidak melebihi tahap toksisiti piawaian Osha Pel yang disyorkan.

“Keputusan itu dibuat terhadap semua kepekatan gas toksik yang dicerap seperti propene, methyl alcohol dan butane-2 methyl,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan yang mendedahkan terdapat kes penduduk Pasir Gudang muntah dan pening-pening pada 24 Jun lalu sekali gus mengulangi insiden pencemaran Sungai Kim Kim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN