Selipar petanda anak bongsu jatuh lubang kumbahan - Utusan Malaysia

Selipar petanda anak bongsu jatuh lubang kumbahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sepasang selipar milik anak bongsu yang terapung di sebuah lubang kumbahan najis menjadi petanda dia terjatuh ke dalamnya, kata bapa kepada kanak-kanak yang maut dalam sebuah lubang kumbahan najis di kuarters Polis Pasir Puteh, di sini hari ini.

Ahmad Hafiz Mustafa, 32, berkata, beliau pada mulanya menyangka mangsa, Muhamad Anas Hadif yang berumur tiga tahun itu terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas mendengar anak lelaki ketiganya menjerit namun rupa-rupanya dia terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, Muhammad Anas Hadif, anak bongsu dari empat beradik itu sedang bermain dengan dua lagi abangnya, masing-masing berusia tujuh dan enam tahun di pekarangan kuarters balai polis berkenaan.

“Apabila saya turun dari tingkat atas kuarters, saya nampak sepasang selipar milik anak bongsu saya terapung di atas kumbahan air itu. Semasa kejadian, anak bongsu bermain-main dengan dua lagi abangnya.

“Dia (mangsa) anak yang sangat manja dan sering mengikut ke mana sahaja kami pergi,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ahmad Hafiz, anggota polis berpangkat Lans Koperal berkata, beliau sekeluarga baharu sahaja berpindah di situ sejak sebulan lalu apabila beliau ditukarkan bertugas di balai polis berkenaan.
Katanya, mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram, Lekir dekat Sitiawan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di jabatan forensik berkenaan menyifatkan kejadian itu sebagai satu kemalangan.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dijumpai pada pukul 9 pagi oleh anggota bomba berkenaan dengan menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan bagi memudahkan mangsa dikeluarkan dari lubang itu,” katanya sambil menambah ketika pihaknya sampai, lubang kumbahan itu memang sudah terbuka. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×