KUALA LUMPUR 1 Okt. – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mengetahui penebusan nota murabaha oleh syarikat itu tidak melibatkan sebarang transaksi wang ringgit.
Ini kerana, menurut Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, segala tindakan yang dibuat untuk penebusan tersebut adalah mengikut atas dasar yang perlu diketahui sahaja (need to know basis) dan dimaklumkna kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.
“Ingin saya nyatakan yang segala tindakan penebusan nota Murabaha ini sejajar dengan konsep “need to know basis” yang dimaklumkan oleh Jho Low pada saya, oleh itu ia semestinya juga telah mendapat restu daripada Najib. Tambahan juga, pada masa itu saya tidak tahu yang transaksi ini tidak melibatkan sebarang wang tunai dan hanya di atas kertas sahaja,”katanya.
Berita berkaitan:
Saksi pendakwaan kesembilan itu juga menyatakan transaksi tersebut digunakan untuk mengaburi mata Ahli Lembaga Pengarah dan 1MDB untuk menunjukkan bahawa wang pelaburan dari penamatan nota murabaha terdahulu kononnya telah dilaburkan dalam dana lindung nilai (hedge fund) luar negara supaya mendapat pulangan yang lebih tinggi.
Saksi itu berkata demikian pada hari ke-16 kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan membabitkan penyelewengan dana syarikat RM2.28 bilion.
Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – UTUSAN ONLINE











