Mira Filzah kekal duta Salam Taiwan musim 2 - Utusan Malaysia

Mira Filzah kekal duta Salam Taiwan musim 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Pelakon jelita drama Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan Mira Filzah dipilih menjadi duta rasmi pelancongan Salam Taiwan untuk tahun kedua.

Pemilihan semula pemenang Bintang Paling Popular dari Anugerah Bintang Popular anjuran sebuah akhbar perdana baru-baru ini itu diumumkan oleh Biro Pelancongan Taiwan semalam.

Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, Encik Abe Chou berkata pihaknya gembira dapat meneruskan kerjasama dengan Mira Filzah untuk kempen pelancongan tersebut.

“Personaliti ceria dan positif beliau menjadikannya model contoh yang hebat. Menerusi edisi pertama kempen Salam Taiwan, beliau membawa pengaruh besar di dalam mengenengahkan Taiwan sebagai pulau mesra Muslim di Malaysia dan Brunei.

“Kami gembira dengan banyak pertanyaan diterima daripada pelancong muslim mengenai tempat-tempat yang dikunjungi Mira di Taiwan. Beliau adalah aktres yang aktif, menyeronokkan dan sofistikated yang ideal mewakili kempen Salam Taiwan sekali lagi,” kata Chow dalam satu kenyataan.

MIRA FILZAH
MIRA FILZAH 

Mira Filzah telah dilantik sebagai wajah kempen Salam Taiwan tahun lalu. Sejak itu, aktres berusia 26 tahun itu telah mengadakan beberapa siri aktiviti dan acara yang memaparkan kemudahan dan tarikan yang ada bagi kemudahan pelancong Muslim di Taiwan. Makanan dan minuman, hotel dan bilik solat selesa adalah antara yang dipaparkan.

Musim 2 Salam Taiwan akan menyaksikan Mira Filzah melawat semula Taiwan dan meneroka lokasi unik, mengunjungi lokasi tarikan dan aktiviti yang kurang dikenali dan juga permata-permata rahsia pulau itu yang belum diketahui ramai.

“Taiwan adalah sebuah pulau yang indah. Sejujurnya, saya tidak tahu banyak mengenai Taiwan sebelum lawatan saya ke sana. Taiwan telah memberi saya pengalaman yang tidak disangka.

“Saya tidak sabar untuk melawat Taiwan sekali lagi dan kali ini, saya mahu meneroka bahagian lain Taiwan dengan lebih mendalam,” kata Mira Filzah.

Setakat September lalu, Taiwan berada di tangga ketiga kategori bukan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI).

Pulau ini menerima lebih daripada 320,000 pelawat dari Malaysia dan Brunei bagi lapan bulan pertama tahun ini dengan 15 peratus daripadanya adalah pelancong Muslim. Ini adalah peningkatan 30 peratus pelancong Islam berbanding tempoh sama pada 2018.

Untuk musim ini, Biro Pelancongan Taiwan akan mengetengahkan aspek makanan, ekologi unik, gabungan kebudayaan tradisional dan moden, beli-belah serta gaya hidup sihat dan mampan.-UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×