KOTA BHARU – Persatuan Sukan Elektronik Kelantan kini giat mencari pemain-pemain handalan untuk diketengahkan sebagai atlet dalam acara sukan elektronik (e-sukan) pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada tahun 2020.
Pengerusinya, Kolonel Bersekutu, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof berkata, pihaknya sentiasa turun padang ke kojohanan-kejohanan e-sukan dianjurkan bagi memantau peserta yang berkebolehan untuk disenaraikan.
Katanya, pada temasya Sukma kali ini permainan e-sukan yang akan dipertandingkan adalah Dota2, Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dan Pro Evolution Soccer (PES) dan FIFA.
“Bagi memantapkan sukan ini saya berhasrat akan mewujudkan kelab-kelab sukan elektronik di setiap daerah untuk mengumpul pemain-pemain yang hebat.
“Sukan eletronik sekarang bersifat profesional, melahirkan generasi kreatif dan mempunyai masa depan cerah kepada pemain yang berbakat untuk memperolehi ganjaran tinggi, kemudahan serta tajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Majlis Penutup Pertandingan E-Sukan sempena Karnival Kesenian Kemerdekaan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama E-Sports Kelantan Events Management (E-Sport Eskel).
Kejohanan julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 100 peserta dari golongan belia dan mereka yang bertanding begitu berpotensi untuk diketengahkan.
Sementara itu, Pengarah PPAK, Ruslan Ludin ketika ditemui berkata, pelbagai program telah diaturkan oleh pihaknya sempena menyambut Hari Kebangsaan bermula pada 17 Ogos lalu sehingga 14 September ini.
Katanya, penganjuran pertandingan e-sukan itu adalah satu inisiatif pihaknya untuk mendekati golongan muda selain mempromosikan galakan membaca kepada mereka yang terlibat.
“Saya difahamkan Industri e-sukan kini penting dalam membina generasi masa depan seiring perkembangan pesat ekonomi digital sekarang ini.
“Saya berharap lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan secara tempatan atau di peringkat negeri sekali gus dapat membuka mata banyak ramai pihak dan memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda khususnya menjadi lebih berdaya saing,” ujarnya. – K! ONLINE.











