JOHOR BAHRU 14 Sept. – Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata api yang mengakibatkan seorang wanita warga emas maut dalam satu kejadian di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau di sini malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, dalam kejadian pada pukul 8.57 malam itu, dua suspek terlibat telah melakukan samun di sebuah kediaman diduduki enam lelaki.
Menurut beliau, suspek telah melepaskan dua das tembakan dan satunya telah terkena kaki kanan seorang penghuni rumah tersebut.
Berita berkaitan:
“Dalam kejadian itu, penghuni rumah telah bertindak melawan suspek sebelum kedua-dua melarikan diri dan melepaskan dua das tembakan apabila melihat mereka masih dikejar.
“Tembakan keempat yang dilepaskan suspek terkena seorang wanita berusia 78 tahun yang ketika itu sedang duduk di halaman rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah Mohd. Kamarudin, kedua-dua suspek kemudian bertindak menyamun sebuah motosikal jenis Honda EX5 daripada seorang lelaki lain dengan mengacukan pistol kepada mangsa.
“Suspek yang melarikan diri telah dikenal pasti dan kini sedang giat diburu polis.
“Sementara itu, warga emas berusia 78 tahun disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini manakala penghuni rumah berusia 18 tahun yang ditembak di kakinya masih mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971. – UTUSAN ONLINE











