AUSTRIA bakal mengadakan pilihan raya mengejut berikutan tersebarnya rakaman video yang mendedahkan skandal rasuah Parti Kebebasan (FPOe) sehingga membawa kepada pembubaran kerajaan.
Susulan itu, Ketua FPOe merangkap Naib Canselor Austria, Heinz-Christian Strache bertindak meletak jawatan, sekali gus membawa kepincangan terhadap gabungan antara parti itu dengan Parti Masyarakat Pusat Kanan (OeVP).
Sumber asal video tersebut sehingga kini masih menjadi misteri namun tetap memberi kesan besar dalam dunia politik Austria, lebih-lebih lagi sebelum pilihan raya Parlimen yang bakal diadakan pada 29 September ini.
Berita berkaitan:
Video berdurasi enam jam itu dirakam sekitar Julai 2017 menerusi kamera litar tertutup di sebuah vila mewah dekat Ibiza tiga bulan sebelum pilihan raya Parlimen yang terakhir.
Menerusi video itu, Strache dirakam sedang berbual dengan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Alyona Makarova yang kononnya merupakan anak buah kepada individu berpengaruh di Rusia, Igor Makarov.
Makarova, menerusi temu bual bersama Forbe menafikan dakwaan tersebut.
Turut kelihatan dalam rakaman itu adalah pembantu Strache, Johann Gudenus dan isterinya serta seorang lelaki yang datang bersama wanita Rusia berkenaan.
Strache dalam rakaman itu membincangkan bagaimana Makarova untuk mengambil-alih tabloid terbesar Austria, Kronen Zeitung dan membantu dalam setiap kempen parti berkenaan.
Sebagai balasan, Strache akan menguruskan pemberian tender pembinaan awam kepada Makarova, yang mana sepatutnya dianugerahkan kepada syarikat gergasi tempatan, Strabag.
Dua akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung dan Der Spiegel membuat pendedahan tentang rakaman tersebut namun tidak menyatakan sumbernya.
Seorang peguam, Ramin Mirfakhrai memberitahu beliau terlibat dalam rancangan pertemuan itu.
Dalam pada itu, pejabat Mirfakhrai diserbu pihak berkuasa sebagai sebahagian siasatan terhadap sebarang kemungkinan penggunaan alat rakaman tanpa kebenaran atau pemalsuan dokumen yang dilindungi.
Menurut media tempatan, seorang penyiasat dan dua pakar keselamatan dilaporkan terlibat dalam rancangan berkenaan.











