KUALA LUMPUR 3 Sept. – Aspek fizikal dan taktikal pada latihan fasa akhir selama empat minggu di Kazakhstan pada November ini bakal menjadi fokus Azmi Md Yunus dalam memantapkan persiapan skuad tinju negara sebelum menghadapi Sukan SEA ke-30 di Filipina nanti.
Ketua jurulatih skuad tinju negara itu menaruh harapan latihan intensif di negara Asia Tengah itu dapat meningkatkan prestasi petinju negara, termasuk kepantasan tumbukan bagi memberi saingan kepada pencabar dari Filipina dan Thailand yang merupakan pencabar utama Malaysia pada kali ini.
Beliau menjelaskan Kazakhstan menjadi medan terbaik untuk menjalani latihan kerana negara berkenaan mempunyai pelbagai rakan ‘sparring’ yang bagus dalam pelbagai kategori, selain kejohanan tinju turut diadakan pada setiap minggu.
Berita berkaitan:
“Kita berharap dapat mencari rakan ‘sparring’ yang lebih baik pada latihan di Kazakhstan nanti dan saya akan minta bantuan jurulatih tinju dari negara berkenaan untuk membantu peninju kita mempertingkatkan aspek kepantasan tumbukan semasa dalam pertandingan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, Azmi turut mendedahkan beliau perlu menggunakan pendekatan berbeza pada sesi latihan kepada setiap peninju negara ketika ini, memandangkan peninju Filipina dan Thailand mempunyai kelebihan dan pengalaman kerana banyak didedahkan dengan latihan di luar negara.
Dalam pada itu, petinju negara, Muhammad Fuad Redzuan berharap dapat digandingkan dengan rakan ‘sparring’ yang lebih baik di Kazakhstan nanti bagi mempertingkatkan prestasinya sebelum menghadapi Sukan SEA Filipina.
Beliau pada masa sama enggan meletakkan sasaran awal untuk mempertahankan pingat emas kategori 49kg yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sebaliknya akan menunggu undian acara tinju sebelum mencongak nasibnya untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Saya harap dapat mengelak bertemu dengan peninju Filipina dan Thailand pada pusingan awal memandangkan mereka lebih banyak pendedahan di luar negara berbanding saya dan dari situ, saya nampak bahawa saya agak ketinggalan berbanding peninju dua negara berkenaan,” jelas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu.
Berkongsi pandangan sama adalah seorang lagi petinju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori yang berharap dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kategori 60kg setelah terkandas pada suku akhir kategori sama dalam edisi 2015 di Singapura dan 2017 di sini.
Beliau pada masa sama berharap, latihan intensif di Kazakhstan nanti dapat membantu meningkatkan aspek mental dan fizikal untuk dirinya sebelum menyertai Sukan SEA Filipina.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Iruan Zulkifli mengesahkan, badan induk itu hanya akan menghantar lima petinju, berbanding enam peninju sebelum ini susulan kecederaan yang dialami Muhammad Khairoll Kalai pada satu kejohanan tempatan, baru-baru ini.
Selain Muhammad Fuad, PTAM turut menyenaraikan tiga petinju lain ke Sukan SEA Filipina, iaitu James Wong Lee Onn (52kg), Hashmil Hashrin (75kg) dan Khir Akyazlan Azmi yang akan bertanding dalam kategori 81kg, dengan sasaran membawa pulang tiga pingat.
Malaysia meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA KL 2017.
Sukan SEA 2019 bakal berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember nanti, dengan melibatkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic. – BERNAMA











