MADRID 7 Sept. – Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menegaskan pihaknya tidak bimbang kehilangan khidmat Lionel Messi jika bintang Argentina tersebut mahu meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu hujung musim ini.
Messi baharu sahaja menandatangani kontrak lanjutan baharu selama empat tahun pada 2017 tetapi Bartomeu tidak kisah malah memberi kebebasan kepada pemain itu bahawa dia boleh menamatkan kontrak tersebut sebelum ia tamat.
“Leo Messi masih ada kontrak sehingga musim 2020/21 tetapi dia diberi kebebasan boleh meninggalkan Barcelona sebelum ia tamat. Ia sama sahaja situasinya dengan kontrak Xavi, (Carles) Puyol dan (Andres) Iniesta sebelum ini.
“Mereka semua ini adalah pemain yang berhak mendapat kebebasan itu dan kami tidak patut bimbang memandangkan mereka ini begitu komited dengan Barca,” kata Bartomeu kepada saluran televisyen dalaman kelab itu.
Pemenang lima kali Ballon d’Or ini sudah beraksi untuk Barcelona sejak daripada skuad remaja kelab tersebut pada 2001 sehingga diserapkan ke skuad utama Barcelona pada 2004.
“Memang kalau boleh kami mahu Messi kekal di Barca sampai 2021 dan selepas itu namun kami tenang sahaja dalam hal ini,” tambah Bartomeu lagi. – AFP











