KUALA LUMPUR – Syarikat pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) dengan kerjasama syarikat tilam yang menggunakan 100 peratus getah asli, GETHA bakal menawarkan pengalaman baharu kepada peminat dan kaki wayang di negara ini.
Menerusi jalinan itu, pawagam butik syarikat tersebut, GSC Signature juga akan dijenamakan semula sebagai Aurum Theatre yang antara lain menonjolkan tempat duduk boleh laras eksklusif serta beberapa fungsi lain bagi memberikan pengalaman menonton wayang lebih santai dan mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, Aurum Theatre yang akan dikenali sebagai GETHA Lux Suites bakal dibangunkan di The Gardens Mall di Kuala Lumpur dan The Mall, Mid Valley Southkey di Johor Bahru, Johor dengan masing-masing dua atau tiga dewan yang dijangka dibuka pada akhir tahun ini.
“Kami berbangga menjalinkan kerjasama dengan GETHA bagi membangunkan beberapa dewan panggung wayang mewah pertama di negara ini iaitu Aurum Theatre.
“Sejak 13 tahun lalu, GSC Signature sentiasa menyajikan pengalaman menonton wayang yang sukar ditandingi dan ketika GSC melakukan perubahan sebagai satu jenama, ia manjadi kebiasaan bahawa kami akan terus menawarkan pengalaman baharu, mewah dan unggul kepada para penonton filem di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pengumuman kerjasama itu di GSC Mid Valley di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GETHA, Melissa Tan.
Maklumat lanjut berhubung Aurum Theatre boleh layari Facebook, Twitter atau Instagram GSCinemas serta laman web www.gsc.com.my. – K! ONLINE










