Mah Sing bekerjasama dengan RinggitPlus perkenal chatbot kecerdasan buatan - Utusan Malaysia

Mah Sing bekerjasama dengan RinggitPlus perkenal chatbot kecerdasan buatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) bekerjasama dengan laman web perbandingan kewangan RinggitPlus.com untuk menawarkan ‘Madam Loan’, chatbot berkeupayaan kecerdasan buatan yang pertama seumpamanya untuk memudahkan permohonan pinjaman rumah.

Pengarah, strategi kumpulan dan operasinya Rachel Leong berkata ‘Madam Loan’ bertujuan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pelanggan dengan menjadikan interaksi lebih peribadi dan mengurangkan tempoh respons pertama hanya kepada beberapa saat sahaja.

“Ini membantu pelanggan dapat berinteraksi dengan kami dengan cara yang baharu, lebih cekap dan dipertingkatkan,” katanya pada majlis pelancaran chatbot itu, di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata pembeli rumah berpotensi kini boleh mendapatkan jawapan mengenai persoalan berkaitan pinjaman rumah dan memohon pinjaman rumah pada bila-bila masa sepanjang hari menerusi ‘Madam Loan’ di www.madamloan.com.my, yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini sehingga 30 Nov.

Menurutnya, ‘Madam Loan’ disasarkan terutamanya kepada pembeli rumah kali pertama, pencari tawaran dan pembeli yang menghadapi kekangan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus Liew Ooi Hann berkata ‘Madam Loan’ juga menawarkan perkhidmatan tokokan nilai kepada pembeli rumah berpotensi seperti proses permohonan diautomasi kepada pelbagai bank, kalkulator kelayakan pinjaman rumah, cadangan skim pembiayaan kerajaan dan malahan saranan hartanah daripada pelbagai projek di bawah Mah Sing.

“Ketika ini, kami menawarkan pinjaman rumah daripada empat bank tetapi kami sedang berusaha untuk menambah lebih banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata kerjasama Mah Sing dengan RinggitPlus diharap dapat menggalakkan pemaju hartanah lain untuk menggunakan pendigitalan.

“Kami berharap lebih banyak syarikat akan mengambil peluang ini untuk menginovasikan tawaran mereka kerana kami percaya pendigitalan adalah revolusi seterusnya yang akan membentuk masa depan perniagaan pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×