PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyelesaikan isu ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan jumlah mencecah RM50 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut mendapati lebih 50 peratus urus niaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi adalah melibatkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar kawasan wilayah tersebut.
“Berdasarkan Laporan Audit Dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ dengan mengambil kira rekod urus niaga pembaharuan LKM, ketirisan hasil yang berlaku adalah mencecah RM50 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Berita berkaitan:
“Isu ketirisan ini melibatkan urus niaga pembaharuan LKM di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi yang dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kegunaan di kawasan Semenanjung Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, urus niaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ dan rakan niaga yang lain.
Jabatan itu berkata, objektif pasukan khas itu adalah bagi mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu berkenaan daripada berterusan.
“JPJ memandang serius perkara ini serta berusaha untuk memantapkan integriti penyampaian perkhidmatan khususnya bagi aktiviti kutipan hasil demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya. – K! ONLINE











