GEORGE TOWN – Dua penjaga sangkar ikan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negeri ini kira-kira 0.3 batu nautika dari timur Pulau Jerejak dekat sini selepas didapati melanggar peraturan imigresen kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, dalam operasi kira-kira pukul 10 pagi itu mereka yang ditahan adalah lelaki berusia 20 dan 26 tahun.
“Pemeriksaan mendapati mereka yang bekerja di atas sangkar ikan itu didapati tidak mempunyai permit yang sah untuk bekerja di negara ini.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pekerja asing terbabit disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Menurut Hamizan, pihaknya turut mengingatkan kepada pengusaha sangkar ikan agar membuat permohonan permit kerja dengan Jabatan Imigresen untuk menggaji pekerja warga asing di negara ini. – K! ONLINE











