Buat pertama kali selepas lebih 28 tahun bergantung hidup pada air hujan, kira-kira 500 penduduk Kampung Long Puak di pedalaman Miri, Sarawak kini boleh melupakan penderitaan itu.
Sejak 17 Mei lalu, paip yang dipasang di rumah penduduk mula membekalkan air bersih yang diperoleh dari kawasan air terjun berdekatan.
Tiada kata-kata yang mampu mereka ucapkan, selain menitiskan air mata kegembiraan saat melihat air bersih keluar dari paip setelah puluhan tahun menadah air hujan untuk keperluan harian.
Suasana yang cukup mengharukan itu turut disaksikan hampir 100 sukarelawan belia Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (PGKM) dan belia tempatan yang bertungkus lumus menjayakan Projek Gotong Royong Saliran Air Bersih di kampung itu.
Menurut ketua projek yang juga Presiden PGKM, Khairul Annuar Mansor, hujan adalah sumber air penduduk Kampung Long Puak sejak penempatan itu dibuka lebih 28 tahun lalu.
Walaupun kesulitan itu sudah dianggap seperti ‘alah bisa tegal biasa’, namun setiap hari penduduk kampung dari etnik Kenyah itu tetap berdoa mengharapkan sumber air yang lebih bersih dapat dinikmati satu hari nanti.
“Mereka tidak mahu anak cucu mereka melalui keperitan hidup selama mereka tinggal di perkampungan rumah panjang itu.
“Kebanyakan anak terpaksa keluar dari kampung dan menetap di bandar kerana ketiadaan air bersih,” katanya.
Bercakap lebih lanjut tentang projek itu, katanya, ia dirancang sejak 2017.
Projek itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif program SDG (Sustainable Development Goals) Among Orang Asli, Young Women And Youth In Rural Area in Sabah and Sarawak anjuran Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYCKL).
Mengenai pemilihan Kampung Long Puak, beliau menjelaskan ia dicadangkan oleh salah seorang ahli persatuan PGKM, Siti Shazleen Shazali yang juga penduduk di Long Puak.
Ketika tinjauan awal dibuat pada 20 November 2017, misi utama adalah untuk membangunkan orang muda di kampung itu agar tidak terus tercicir daripada pembangunan belia.
“Saya pergi ke kampung ini bersama dua lagi rakan belia dan saya dapati ada isu yang lebih besar di kampung ini yang perlu diselesaikan. Bagaimana nak bangunkan orang muda sedangkan kemudahan asas iaitu air bersih tidak ada.
“Saya lihat yang tinggal di kampung itu hanya golongan tua sebab anak-anak muda semuanya merantau,” tambahnya.
Selain bekerja di Miri yang jaraknya kira-kira 300 kilometer dari kampung berkenaan dengan tiga jam perjalanan darat, ada juga penduduk bekerja di syarikat kuari yang letaknya kira-kira 10 kilometer dari kampung dan tinggal di rumah pekerja yang disediakan majikan.
Kebanyakan mereka yang bekerja di syarikat kuari hanya pulang ke kampung pada hujung minggu.
Menurut Khairul Annuar, ketika berbincang dengan wakil penduduk kampung, Pius Jau bersama beberapa orang kampung meluahkan harapan yang tinggi agar ada pihak dapat menyelesaikan isu air bersih di kampung itu.
Dalam perbincangan itu juga, mereka menyatakan terdapat air terjun berdekatan dengan kampung tetapi perlu menyeberang Sungai Baram yang terkenal sabagai salah satu lubuk buaya di Sarawak. – BERNAMA











