KUALA LUMPUR – Penjejak entiti atau aktiviti paranormal merupakan satu ‘pekerjaan’ ‘gila’ yang tidak ramai dalam kalangan kita akan melakukannya.
Bagi Hanizamal Abu Hanifah atau lebih popular dengan panggilan Solo Ambush, tidak ada apa yang ‘gilanya’ apabila beliau amat berkecenderungan untuk menjejak entiti, hantu atau roh-roh yang berkeliaran.
Edisi pencarian entiti ke-20 Solo Ambush adalah di negara matahari terbit iaitu sebuah hutan paling seram dan dikatakan paling berhantu di Jepun iaitu hutan Aokigahara yang terletak berhampiran Gunung Fuji.
Hutan Aokigahara amat popular dalam kalangan rakyat Jepun yang putus asa hidup dan membunuh diri di situ. Hutan tersebut juga dikatakan tempat ‘pembuangan’ warga emas yang telah uzur dan menjadi beban anak-anak untuk dipelihara untuk dijemput ajal di situ.
Menurut Solo Ambush, dia sedar bahawa cabaran yang menanti di Aokigahara adalah amat berbeza berbanding dengan kawasan-kawasan berhantu yang dikunjungi dan diserang oleh beliau sebelum ini.
“Banyak cerita yang kita dengar tentang kawasan hutan Aokigahara. Bahkan ada yang mendokumentasikan dan memfilemkan kejadian yang berlaku di hutan itu. Saya juga ada menonton di YouTube yang mana kumpulan yang masuk ke hutan itu, ketakutan dan lari keluar meninggalkan hutan.
“Di sini, misi sebenar dalam pencarian entiti atau paranormal ialah saya ingin memberitahu masyarakat bahawa jangan kita menjadi terlalu takut kerana setiap makhluk termasuk entiti dan manusia ada kekuatan dan kekurangan,” ujarnya.
Persiapan Solo Ambush ke Aokigahara sudahpun dibuat dengan menyenaraikan peralatan yang perlu dibawanya pada 30 Ogos nanti iaitu tarikh beliau akan berlepas menaiki pesawat ke Tokyo.
Malah pengikut media sosial Solo Ambush berpeluang untuk menyaksikan secara langsung ketika penjejak entiti itu berada dalam hutan Aokigahara.
“Insya-Allah, pada 31 Ogos, sebelah malam, saya akan masuk ke hutan Aokigahara dan akan bermalam selama dua hari dua malam.
“Semua persiapan telahpun dibuat. Doakan yang terbaik buat saya. Jangan lupa untuk saksikan saya secara live di Facebook Solo Ambush nantu,” katanya ketika diwawancara dalam segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online pagi tadi.

Solo Ambush juga memberitahu, awal-awal lagi, beliau telah ‘didatangi’ entiti dari hutan Aokigahara yang sekaligus menjadi isyarat bahawa kehadiran beliau seolah-olah dinanti-nantikan oleh entiti hutan Aokigahara.
Berdiri atas usaha dan kewangan sendiri, Solo Ambush mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk membeli tiket kapalterbang pergi dan balik serta kos-kos lain dalam Misi Pencarian Aokigahara.
Segala butiran untuk sumbangan ada dalam Facebook Solo Ambush.
Menurut Solo Ambush, sebelum bertukar hobi sebagai penjejak entiti, dia bermula sebagai pendaki gunung secara berkumpulan pada usia 24 tahun dan mengambil keputusan untuk berpisah dan mendaki secara solo.
“Apabila melakukan pendakian secara solo, saya dapat rasakan kehadiran entiti. Keupayaan saya untuk merasa dan mengesan entiti bermula pada usia saya 14 tahun lagi.
“Hari ini, walaupun tugas hakiki saya adalah sebagai Pengurus Jurutera di sebuah syarikat di Vietnam namun hobi saya ialah pencarian entiti dan itulah yang saya lakukan sejak tahun lepas di mana saya live kan pencarian di Facebook Solo Ambush,” katanya. – UTUSAN ONLINE











