Kapal asing ditahan bersauh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kapal asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 18 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur dekat sini.

Kapal tangki kecil tanpa muatan itu yang berdaftar di Ulaanbaatar ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 3.1 batu nautika timur Tanjung Penyusop pada pukul 6.45 petang semalam.

Menurut Pengarah ZMTS, Kapten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan, penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal tersebut dikendalikan enam kru termasuk nahkoda berumur lingkungan 24 hingga 61 tahun dan semuanya lelaki serta merupakan warganegara Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Penahanan itu jelasnya, merupakan kes ke-24 melibatkan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi ZMTS untuk tahun ini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan lagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara khususnya perairan Johor timur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×