KUALA LUMPUR 5 Ogos – Empat lelaki termasuk tiga beradik cedera selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 25, Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), arah Cyberjaya ke Kelana Jaya, Subang Jaya, dekat sini semalam.
Kemalangan pada pukul 4.45 petang itu berpunca daripada pemandu Perodua Myvi yang mengekori rapat kereta Mazda CX3 tidak sempat menekan brek lalu menyebabkan kereta itu terlajak ke depan seterusnya melanggar kereta Proton Persona.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, perlanggaran itu menyebabkan kereta Perodua Myvi terbabas dan melintang jalan sebelum empat motosikal yang tidak sempat mengelak merempuh kereta terbabit.
“Penunggang pertama, Wan Muhammad Wan Kamaruzaman, 36, cedera di bahagian dada dan luka di lutut kiri sementara penunggang kedua iaitu adiknya, Wan Azlan Wan Kamaruzzaman, 33, patah tulang pinggul dan pergelangan tangan kanan patah.
“Selain itu, penunggang ketiga yang juga abang mereka, Wan Hussin Wan Kamaruzaman, 40, patah pergelangan tangan kiri, sementara penunggang keempat, Muhamad Faiz Mohamad, 25, retak kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman memaklumkan, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 29 saat yang memaparkan empat penunggang motosikal melambung akibat merempuh sebuah kenderaan tular di media sosial.
Mangsa dipercayai baru sahaja pulang dari satu majlis di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang. – UTUSAN ONLINE











