China bayangkan campur tangan askar - Utusan Malaysia

China bayangkan campur tangan askar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG 26 Ogos – China mengeluarkan amaran keras berhubung kemungkinan kerahan tentera di Hong Kong berikutan dakwaan protes itu bertukar kepada ‘revolusi warna’, selepas pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan ketika protes masuk minggu ke-12, semalam.

Portal Strait Times yang memetik agensi berita Xinhua sebagai berkata, protes jalanan di Hong Kong bukan sahaja tanggungjawab kerajaan wilayah autonomi itu.

“Namun ia juga tanggungjawab Beijing untuk campur tangan apabila rusuhan berlaku di Hong Kong,” kata Xinhua dalam ulasannya mengenai rusuhan itu, semalam.

Xinhua dilapor merujuk komen yang dibuat bekas pe­mimpin tertinggi Beijing, Deng Xiaoping bahawa Beijing perlu bertindak berikutan keadaan semasa Hong Kong.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 13 Ogos lalu berkata, laporan dari agensi perisikan negara itu mendedahkan kerajaan China sedang menggerakkan angkatan tenteranya ke bandar bersempadan Hong Kong.

Sehari sebelum itu, akhbar Global Times pula melaporkan, Polis Bersenjata Rakyat China sedang berhimpun di Shenzhen menjelang latihan skala besar yang disertai kereta perisai, trak dan kenderaan lain milik angkatan tentera.

Dalam ulasannya, Xinhua berkata, protes Hong Kong telah bertukar kepada revolusi warna yang bertujuan menukar institusi Perlembagaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, isyarat Beijing sedia untuk mengambil tindakan lanjut.

“Tindakan ganas yang dilakukan oleh penunjuk perasaan mendorong Hong Kong terjerumus ke dalam keadaan yang amat berbahaya,” jelas kerajaan tempatan dalam satu kenyataan.

Ini selepas seharian wilayah itu dicemari keganasan antara penunjuk perasaan dan polis sehingga anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara.

Dalam protes di daerah Tseun Wan itu, polis buat pertama kali terpaksa melepaskan tembakan amaran menggunakan peluru hidup selain menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang bertindak ganas.

Protes turut merebak ke beberapa kawasan lain termasuk Sham Shui Po, Tsim Sha Tsui, Wong Tai Sin dan pintu masuk Kowloon di Cross-Harbour Tunnel.

Menurut polis, menjelang malam, penunjuk perasaan menyerang mereka dengan batu bata dan pelbagai senjata termasuk bom petrol memaksa enam anggota melepas tembakan amaran ke udara.

Sebanyak 15 orang anggota polis cedera dalam pertempuran itu dan polis menahan sebanyak 36 orang penunjuk perasaan, 29 lelaki dan tujuh wanita termasuk seorang remaja berusia 12 tahun.

Mereka ditahan selepas melakukan pelbagai kesalahan termasuk berhimpun secara haram, memiliki senjata yang boleh menyerang dan mence­derakan anggota polis.

Sementara itu, pihak berkuasa hospital hari ini berkata, sebanyak 38 orang dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas bertempur dengan polis ketika 20 pesakit telah dibenarkan keluar.

Sebanyak 17 orang pesakit telah stabil manakala seorang lagi pesakit lelaki dilapor kritikal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×