Woods inspirasi Serena ke final Wimbledon - Utusan Malaysia

Woods inspirasi Serena ke final Wimbledon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Serena Williams mengakui dia mendapat inspirasi daripada kisah kejayaan pemain golf, Tiger Woods untuk kembali menggegar persada tenis dunia termasuk hingga berjaya ke final Wimbledon ketika ini.

Woods yang membuat kemunculan semula penuh sensasi pada usia 43 tahun ketika menjuarai Kejohanan Masters tahun ini sekembali daripada kecederaan belakang menjadi contoh terbaik Serena, 37, yang diakui bergelut untuk mengembalikan kecergasan selepas melahirkan anak.

“Saya rasa teknologi sukan sudah banyak berubah. Itu satu-satunya sebab yang membolehkan saya bersaing semula. Kalau teknologi ini sudah ada 20 tahun lalu, Michael Jordan pun masih boleh bermain sekarang.

“Malah banyak atlet seperti saya masih boleh beraksi di tahap tertinggi termasuk Tiger yang kemunculannya sentiasa bermain di fikiran saya. Mereka ini menjadi sumnber inspirasi yang mendorong saya untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Serena akan menentang pemain No. 2 dunia dari Romania, Simona Halep esok untuk penentuan juara dan jika menang, pemain Amerika Syarikat ini mampu menyamai pencapaian Margaret Court yang pernah menang 24 gelaran Grand Slam.

Ini merupakan final ke-11 Serena di Wimbledon selepas menewaskan pemain Republik Czech, Barbora Strycova 6-1, 6-2 di separuh akhir. Halep pula mara selepas menewaskan pemain Ukraine, Elina Svitolina 6-1, 6-3.

Dengan Halep, 27, sudah pun berjaya memenuhi impian ibunya untuk melihat dia beraksi di final Wimbledon sejak 15 tahun lalu, pertemuan dengan Serena dijangka sengit dengan masing-masing ada misi peribadi untuk dilaksanakan.

“Perasaan saya terasa hebat untuk berdepan Serena. Saya lebih terdesak untuk memenangi Wimbledon daripada sekadar mengalahkannya sahaja. Saya akan fokus pada permainan sendiri tanpa memperdulikan rekod lawan saya yang cukup besar.

“Jika saya mampu menang, ia pasti akan menjadi suatu detik yang cukup manis,” kata Halep. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×