Warga emas maut kereta dilanggar dari belakang - Utusan Malaysia

Warga emas maut kereta dilanggar dari belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH – Seorang warga emas maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 102.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, Abdul Jamal Yusoh, 64, dari Taman Jaya Diri, Chenor meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki oleh mangsa bersama tiga anaknya telah dilanggar oleh sebuah kereta Honda City dari arah belakang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua buah kenderaan yang terlibat sedang menghala ke Kuala Lumpur sebelum kejadian tersebut. 

“Siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu perlahan di lorong kiri kerana terdapat satu kemalangan berasingan di lorong kanan,” katanya.

Menurutnya, kereta Honda City yang dipandu laju oleh seorang lelaki Melayu di lorong kiri itu telah melanggar bahagian belakang Perodua Viva menyebabkan kenderaan terbabit remuk teruk.

“Kemalangan tersebut menyebabkan seorang penumpang Perodua Viva di bahagian belakang sebelah kiri maut manakala seorang anak perempuannya cedera di bahagian kepala dan kaki,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pemandu Perodua Viva dan penumpang di bahagian hadapan serta pemandu Honda City terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk dibedah siasat,” jelasnya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini