SABAK BERNAM 22 Julai – Seorang warga emas ditemukan mati dalam keadaan duduk bersandar pada sofa di rumahnya dalam kejadian di Parit 11 Sungai Nibong, di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, mayat Abd. Razi Masdan, 63, ditemukan adik kandungnya kira-kira pukul 6.45 petang.
Katanya, ketika ditemukan, keadaan mayat sudah kembung, berbau dan berulat dengan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang tiga hari lalu.
“Maklumat dari adik kandungnya memberitahu arwah yang masih bujang dan tinggal bersendirian itu ada mengidap penyakit darah tinggi dan strok sebelah badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Jelas Chee Khoon, kali terakhir mangsa dilihat adiknya ialah pada petang Khamis lalu semasa sedang minum di warung di Parit 11 Ban 2, Pasir Panjang.
“Pemeriksaan pada badan mayat mendapati tiada sebarang luka dan cedera. Begitu juga pemeriksaan polis di sekeliling tempat kejadian tidak menjumpai sebarang kejadian berunsur jenayah,” ujarnya.
Kata Chee Khoon, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN ONLINE











