KUALA LUMPUR 19 Julai – Sekumpulan pemandu berkumpul secara aman di hadapan KLCC di sini bagi menuntut hak dan meluahkan rasa kesal terhadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fok yang didakwa menganaktirikan pemandu teksi selain bersikap ‘double standard’ terhadap syarikat pengendali e-hailing.
Kira-kira 100 pemandu teksi dari beberapa negeri Semenanjung secara rela hati mengambil bahagian dalam himpunan tersebut tanpa membabitkan persatuan masing-masing bagi membantah sikap kerajaan yang masih berlembut dengan pengendali operasi aplikasi perkongsian kereta di negara ini.
Seorang wakil pemandu teksi dari Perak, Mohd. Helmi Hashim, 47, berkata, dia merupakan pemandu teksi di Ipoh hadir dan berkumpul hari ini bersama rakan-rakan dari seluruh Semenanjung bagi menunjukkan bantahan terhadap kerajaan terutama Anthony.
“Pada 12 Julai lalu kerajaan sepatutnya menguatkuasakan syarat wajib Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) ke atas semua pemandu e-hailing tapi sebaliknya telah membuat pusingan U.
“Sebelum ini kerajaan terdahulu telah beri tempoh setahun, kali ini menteri baharu kita bagi pula tempoh tambahan tiga bulan lagi kepada pemandu e-hailing untuk penuhi syarat ditetapkan PSV dan dapat berbuat demikian dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang pemandu teksi dari Kuala Lumpur, Mohd. Raffaie Rasul, 40, berkata, semua pemandu teksi kini mencurigai Kementerian Pengangkutan dalam menyelesaikan kemelut operasi aplikasi perkongsian kereta dan mula tidak mempercayai pendirian Anthony lagi.
“Jangan anggap kami ini pemandu kelas kedua dan memandang remeh pada kami. Mana prinsip ‘rule of law’ yang menjadi pegangan pemimpin kerajaan sekarang.
“Kita tidak marah kalau kerajaan laksanakan undang-undang seperti yang ditetapkan. Untuk itu kami berhimpun hari ini dan mahu kerajaan laksanakan apa yang dijanjikan.
“Pendekatan ‘soft landing’ yang dilakukan menteri mula membuatkan kami syak sesuatu,” ujarnya.
Sukarmee Ibrahim, 43, pemandu teksi dari Johor turut bersependapat dengan rakan-rakannya yang lain dan berharap pihak kementerian tidak lagi melanjutkan tempoh tiga bulan yang telah diberikan ketika ini.
“Kalau boleh saya harap kementerian ikut ketetapan sebelum ini dan mana-mana pemandu e-hailing yang tidak mendaftar PSV lagi mereka boleh kenakan tindakan sebagai peringatan dan pengajaran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











