[VIDEO] Paul Yong bertugas seperti biasa - Utusan Malaysia

[VIDEO] Paul Yong bertugas seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 12 Julai – Ahli Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan dakwaan merogol tetap menjalankan tugasnya seperti biasa hari ini.

Beliau yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru itu tiba di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada pukul 9.15 pagi.

Kehadiran ADUN Tronoh daripada DAP itu dinantikan para wartawan yang mula berkumpul sejak pukul 8 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Paul Yong ketika ditemui berkata, beliau masih bertugas seperti biasa dan tiada sebab untuknya tidak hadir bekerja meskipun sedang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Katanya, beliau juga tidak perlu mengambil cuti walaupun dikatakan mungkin direhatkan daripada menjalankan tugas pentadbiran sekiranya siasatan polis mengambil masa yang lama.

“Saya tidak apa-apa. Mengapa saya tidak bekerja? Tidak perlu tanya sama ada saya boleh bekerja atau tidak kerana saya masih Exco.

“Polis juga sedang menjalankan siasatan dan saya percaya serta yakin dengan kepakaran dan profesionalisme mereka. Jika bersalah, maka bersalahlah dan begitu juga jika sebaliknya. Biarlah masa membuktikan segalanya,” katanya di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam dilaporkan berkata, Paul Yong mungkin akan direhatkan daripada tugas pentadbiran termasuk dihadkan tugasan sekiranya siasatan polis terhadapnya mengambil masa yang lama.

Paul Yong sebelum ini disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumahnya yang merupakan warga Indonesia setelah wanita berusia 23 tahun itu membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Wanita itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini