[VIDEO] Kantoi bekal dakwat mesin pencetak tiruan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kantoi bekal dakwat mesin pencetak tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Julai- Sebanyak 739 dakwat mesin pencetak dan katrij tiruan dianggarkan bernilai RM78,674 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di lima premis di sekitar Lembah Klang semalam.

Serbuan kira-kira pukul 4.30 petang yang dijalankan oleh KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) itu, sebanyak satu set komputer serta beberapa mesin pencetak pelbagai jenama turut dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Azeem Nazuri berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua premis yang diserbu merupakan pusat operasi yang didalangi sindiket sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, modus operandi sindiket yang telah bergerak aktif sejak setahun lalu itu membeli bekas dakwat mesin pencetak tulen kitar semula sebelum mengisikan dakwat tiruan ke dalam bekas tersebut.

“Selain itu, sindiket turut mengaburi mata pengguna dengan meletakkan pelekat jenama tertentu serta membungkus dakwat tiruan ke dalam bekas seakan-akan sama dengan dakwat tulen.

“Hasil siasatan mendapati sindiket beroperasi di Kampung Kerdas, Sungai Besi, Taman Bukit Teratai, Taman Maluri dan Taman Komersial Pandan Indah,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut di sini hari ini.

Menurut Azeem, siasatan lanjut juga mendapati dakwat mesin pencetak tiruan serta katrij itu dijual dengan harga RM100 hingga RM250 seunit.

Katanya, ada sesetengah pelanggan membeli barangan tiruan kerana harga jauh murah berbanding harga dakwat mesin pencetak tulen.

“Kita sedang mengambil keterangan lima lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 35 tahun dipercayai pemilik serta pekerja premis.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini