KLANG – Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang cedera ringan ketika melakukan operasi pemadaman kebakaran tiga buah kilang di Jalan Perigi Nanas, Pulau Indah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, kesemua yang cedera berusia 20-an dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.37 petang sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.12 petang berikutan jarak ke tempat kejadian 22 kilometer.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati kebakaran melibatkan tiga buah kilang kelas A yang mana salah satunya terbakar sepenuhnya sementara selebihnya terbakar 50 peratus.
“Kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12.40 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE











