PANAS!Suhu di Litar Lumba Antarabangsa Sepang (SIC) menunjukkan bacaan 36.5 darjah Celcius. Sudahlah panas, dipaksa pula menyarung jumpsuit yang ada dua lapisan. Topi keledar pun kena pakai. Tempat duduk jenis bucket pula membuatkan saya terus ‘terbenam’, hampir tidak boleh bergerak.
Begitulah keadaan saya semasa duduk di sebelah pemandu kereta lumba pasukan Proton R3 Motorsports di SIC, Selangor, kelmarin.
Itu belum lagi bahang enjin kereta Suprima S yang meresap masuk ke dalam cockpit. Saya diberitahu oleh krew Proton R3 Motorsports, suhu dalam kereta lumba boleh cecah 50 darjah Celcius. Patutlah baru bergerak kira-kira 500 meter dari pit stop dan memasuki selekoh pertama, saya sudah rasa macam berada dalam sauna! Ditambah dengan tekanan daya graviti (g-force) semasa melalui 15 selekoh dalam litar tersebut, lagilah azab.
Pemandu di sebelah saya, Mitchell Cheah pula mana boleh pandu perlahan. Dia sedang berlatih untuk memperbaiki masa terpantas. Esoknya dia nak berlumba dalam Malaysia Championship Series. Rasanya setiap selekoh dia pecut antara 100 hingga 120 kilometer sejam. Kecut perut!
Muntah
Saya tidak sempat nak jeling meter kelajuan. Sebabnya, tekak mula loya. Rasa nak terkeluar dari mulut roti canai telur yang saya makan pagi tadi. Nasib baik hanya dua pusingan. Kalau masuk pusingan ketiga, mahu ‘banjir’ lantai kereta dengan muntah!
Rasa kena game pun ada juga. Mana tidaknya, dalam e-mel ditulis jemputan untuk merasai pengalaman dalam kereta lumba secara santai (joy ride). Tapi apabila sudah masuk dalam litar, rupa-rupanya ada banyak lagi kereta lumba dari pasukan-pasukan lain. Masing-masing bersaing antara satu sama lain. Memang betul-betul berlumba.
Cool
Walau bagaimanapun, Mitchell tetap cool. Satu persatu kereta lumba pasukan lain dia pintas. Meskipun masih muda, baru berusia 21 tahun, skil pemanduannya macam pelumba otai. Itu membuatkan saya semakin yakin, walaupun pada mulanya agak sangsi dengan kemampuan kereta berkenaan.
Sesekali dia tunjuk isyarat bagus kepada saya. Dia nak pastikan yang saya okey. Mungkin dia rasa saya terlalu ‘diam’. Mana tidaknya senyap, sedang berdoa dalam hati agar cepatlah habis!
Persepsi
Saya rasa cukup bertuah kerana tidak semua orang berpeluang duduk dalam kereta lumba dengan dipandu pelumba profesional di litar. Pengalaman tersebut sedikit sebanyak mengubah persepsi saya terhadap Proton. Seringkali kita dengar, kereta buatan tempatan banyak kelemahan berbanding kereta import.
Namun berada sendiri di dalam kereta Proton yang dipandu dengan begitu ekstrem, terasa cukup stabil dan meyakinkan. Siapa kata kereta buatan Malaysia tidak bagus?

Papan iklan bergerak
KERETA lumba pasukan Proton R3 Motorsports disifatkan umpama papan iklan bergerak. Menurut ketua pasukan itu, Gary Lee, kemampuan dan setiap kejayaan yang dicapai mereka dalam perlumbaan memperlihatkan kekuatan, ketahanan dan prestasi kereta Proton itu sendiri.
Ini kerana kereta lumba pasukan tersebut adalah sama seperti model standard yang terdapat di pasaran, bukan seperti kereta Formula 1. Cuma diberi sedikit pengubahsuaian pada enjin dan kompartmen.
Jelas Gary, itulah yang memberi keterujaan dan kepuasan kepada para pemilik Proton terutama model-model Iriz dan Saga yang digunakan dalam perlumbaan.
Mereka mengikuti setiap perkembangan pasukan Proton R3 Motorsports dalam media sosial. Kalau ada pameran atau perhimpunan kelab-kelab pemilik Iriz dan Saga, pasti mendapat sambutan menggalakkan.
Tidak hairanlah jika kita lihat ada Iriz dan Saga meniru warna dan mempunyai pelekat yang sama terdapat pada kereta lumba Proton. Itulah lambang kesetiaan dan kemegahan pemilik Proton.
Jaga makan sebelum lumba
KECERGASAN dan diet adalah antara elemen penting kepada pemandu kereta lumba, beberapa hari sebelum perlumbaan. Perkara itu dikongsi oleh pelumba-pelumba pasukan Proton R3 Motorsports, Fariqe Hairuman; Syafiq Ali; James Veerapen dan Mitchell Cheah.
Menurut mereka, biasanya setiap perlumbaan memakan masa yang lama ditambah keadaan di dalam kenderaan dan faktor luaran seperti litar dan saingan pasukan lain begitu mencabar. Kalau tidak cergas, macam mana nak bertahan dalam keadaan ekstrem sedemikian? Begitu juga diet, kalau salah makan, perut meragam, macam mana nak tumpu pada perlumbaan?
Selain itu, mereka perlu memastikan prestasi sentiasa pada tahap tertinggi. Jika tidak, bila-bila masa tempat mereka boleh digantikan dengan pelumba baharu.











