PULAU PINANG 13 Julai – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi membawa dan membincangkan keresahan nelayan berhubung projek tambak laut di negeri ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan atau menghalang pelaksanaan projek tambak laut tersebut sebaliknya mahu mendengar pandangan semua pihak berhubung projek tersebut.
Tambahnya, beliau juga sudah berjumpa dan mendengar daripada semua pihak termasuk nelayan; penduduk setempat; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemaju projek berkenaan.
Menurutnya, projek itu wajar diberi ruang untuk dikaji semula meskipun keputusan mengenainya dari sudut laporan impak alam sekitar (EIA) sudah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya akan bertanya dengan pihak kerajaan negeri adakah boleh kita menjamin nasib dan kepentingan nelayan. Kalau kata boleh, kena pastikan ada jawapan munasabah.
“Saya tahu ini adalah sukar, sebab saya tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tambak laut secara besar-besaran di seluruh dunia yang mana nasib nelayan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan bersama lebih 200 orang terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli NGO di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini hari ini.
Pertemuan itu diadakan susulan bantahan sekumpulan nelayan dari negeri ini di Parlimen minggu lalu berhubung projek tersebut yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan para nelayan supaya tidak menolak sepenuhnya projek tersebut dengan melihatnya seperti sebuah malapetaka.
Katanya, nelayan juga perlu melihat sekiranya ada ruang yang memerlukan mereka menerima pembaharuan tetapi dengan pendekatan yang rasional dan turut mengambil kira kebajikan mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Nazri Ahmad menyambut baik perhatian yang ditunjukkan Anwar yang disifatkan sebagai harapan baharu kepada nelayan dalam menolak projek tersebut.
Katanya, beliau berbesar hati rintihan nelayan khususnya dan penduduk negeri ini amnya yang bimbang dengan nasib serta masa depan mereka berhubung projek itu mendapat perhatian di peringkat lebih tinggi seterusnya berharap ada jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE











