KUALA LUMPUR- Pasangan pelakon, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari tahun hadapan.
Bagaimanapun, mereka masih belum memutuskan tarikh sebenar pernikahan kerana bergantung kepada kekosongan lokasi perkahwinan.
“Kami memilih bulan Februari kerana ia bulan kelahiran Zahirah dan mengandungi banyak tarikh yang menarik.
“Namun, tarikh pernikahan masih belum dapat ditentukan kerana banyak hal yang memerlukan perbincangan antara kedua belah pihak,” jelas Aiman lagi.
Bagi Zahirah pula, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakan mereka berdua dan berharap jodoh ini berkekalan hingga ke jenjang pelamin.
“Saya berharap sangat dapat berkongsi tarikh hari ini, namun kami sendiri masih belum mencapai kata sepakat.
“Apa-apa perkembangan terkini akan diberitahu dari semasa ke semasa, jadi doakan yang terbaik untuk kami,”ujarnya lagi.
Pasangan ini mula berkenalan rapat sejak November tahun lalu dan melangsungkan pertunangan pada 8 Jun lalu di kediaman ibu Zahirah di Perth, Australia. – K! ONLINE











