KUALA LUMPUR 13 Julai – Akta Hasutan 1948 tidak sepatutnya dimansuhkan demi menjaga kepentingan negara.
Presiden Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya yang bersetuju dengan keputusan kerajaan mengekalkan akta tersebut kerana jika dimansuhkan akan mengganggu kedaulatan institusi diraja, hak-hak bumiputera dan agama Islam.
“Kalau akta ini dihapuskan bermakna sesiapa sahaja akan bebas bersuara tanpa memikirkan akibat dan tidak mustahil perkara 153 dalam Perlembagaan akan dimansuhkan, perkara ini penting bagi menjamin kedaulatan raja-raja, agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ijtimak Ulama dan Dai’e Ummah di sini hari ini.
Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, kerajaan akan terus menggunakan akta tersbut dalam kes bersesuaian untuk mendakwa mereka yang menyalahgunakan kebebasan bersuara.
Tegas Tommy, peningkatan jumlah ucapan-ucapan berunsur kebencian terutama dalam talian terhadap kaum, agama dan institusi diraja dalam masyarakat Malaysia yang majmuk bermakna kebebasan bersuara telah disalahgunakan. – UTUSAN ONLINE











