Tukar PM bukan macam tukar kasut - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Tukar PM bukan macam tukar kasut – Abdul Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 30 Julai – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat peralihan jawatan Perdana Menteri tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana proses itu bukan semudah mahu menukar kasut.

Abdul Hadi berkata, soal tersebut tidak seharusnya terus dibangkitkan dan menjadi keutamaan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH), sebaliknya apa yang lebih mustahak adalah memberi fokus terhadap usaha mengotakan janji-janji kepada rakyat yang sehingga kini masih gagal ditunaikan.

“Kalau belum tempoh matang macam mana nak tukar? Tak kan nak tukar (Perdana Menteri) tengah jalan? Jadi Perdana Menteri bukan macam pakai kasut yang sekejap-sekejap boleh ditukar, biar sampai betul-betul stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau (Tun Dr. Mahathir) ada pengalaman dan merupakan Perdana Menteri yang paling lama, jadi bagi peluang kepadanya selagi beliau mampu melaksanakan tugas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediamannya sejurus selesai program Daurah Kitab Kupasan Berpolitik daripada Kalam Wahyu (Tafsir al-Quran) sempena Ihtifal Idul Ilmi Maahad Darul Quran (MDQ) Ke-28 di Masjid Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, Tun Dr. Mahathir tidak wajar dipaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah memimpin PH pada pilihan raya lalu dan dipilih majoriti rakyat.

Di samping itu, beliau juga pernah menyatakan yang Perdana Menteri ketujuh itu tidak sepatutnya meletakkan jawatan jika hanya mahu memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Terbaharu, katanya, Pas dan UMNO sebagaimana pendirian yang diputuskan sebelum ini akan memberikan dukungan penuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Kenyataan itu dialu-alukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam laporan akhbar semalam.

“Dia (Mohamed Azmin) lain, saya lain. Pandangan saya dibuat awal dulu dan tidak berubah,” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengalu-alukan kenyataan Abdul Hadi sambil menyifatkan pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini