KUALA LUMPUR 12 Julai – Polis menahan tujuh lelaki selepas disyaki memiliki pil khayal jenis ekstasi dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuching, Sarawak di sini malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, kesemua suspek berusia 26 hingga 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, serbuan itu dilakukan susulan maklumat risikan berhubung terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di premis hiburan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, kita menemukan satu bekas semburan pewangi mencurigakan disembunyikan dalam laci kabinet di kaunter.
“Di dalam bekas semburan itu, kita menemukan satu paket plastik warna merah berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi serta satu paket plastik lutsinar berisi 17 pil khayal itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sahar, pihaknya kemudiannya merampas serbuk seberat 50.75 gram dan pil ekstasi 5.70 gram, dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,520.
“Kesemua mereka sudah dibawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzo dan ketamin. Selain itu, pengurus pusat hiburan itu turut ditahan kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.
Sehubungan itu, Sahar memberitahu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.-UTUSAN ONLINE











