Tiga lelaki ditahan jual arak tanpa lesen - Utusan Malaysia

Tiga lelaki ditahan jual arak tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seramai tiga lelaki ditahan menjual 607 minuman keras yang diragui kesahihannya bersama 32 karton rokok seludup bernilai RM10,490 dalam dua serbuan berasingan sejak dua hari lalu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ,Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, ketiga-tiga individu tersebut terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai runcit di pangsapuri Kayu Ara pada pukul 1.30 petang, Rabu lalu dan hasil pemeriksaan di bahagian belakang serta loteng premis telah menjumpai pelbagai jenis minuman keras bersama rokok seludup yang disorokkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Damansara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, serbuan kedua pula dilakukan semalam pada pukul 3.30 petang di sebuah kedai runcit di Desa Temuan Bandar Damansara Perdana dekat sini.

“Serbuan terbabit telah berjaya menjumpai pelbagai jenis minuman keras pelbagai jenama dimana sebahagian daripadanya diragui kesahihannya yang disimpan di dalam peti sejuk.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai minuman keras disyaki tiruan dan rokok seludup pelbagai jenama di dalam laci serta dibawah kaunter pembayaran yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing dipercayai penjaga premis berkenaan ,” jelasnya.

Tambahnya, kedua-dua premis berkenaan disyaki menjual minuman keras tanpa lesen termasuk menjual kepada remaja bawah umur.

“Kita memandang serius perkara ini dan mahu orang awam terus menyalurkan maklumat mengenai kewujudan premis seumpamanya.

“Tindakan ini juga susulan kes keracunan methanol yang pernah berlaku tahun lalu, sehubungan itu orang ramai juga dinasihati supaya jangan membeli dan minum minuman keras yang dijual di premis tanpa lesen yang sah,” katanya.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Seapark dan Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini