PUTRAJAYA 13 Julai – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan tiada lagi mangsa yang masih dirawat di wad akibat sesak nafas di Pasir Gudang, Johor sejak 20 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga pukul 5 petang semalam, tiada kes baharu dilaporkan selain tiada lagi kes yang berada di dalam wad.
“Bagi kesemua kes yang telah dimasukkan ke dalam wad, tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada kematian dilaporkan.
“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial juga telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, seramai 796 orang awam termasuk kanak-kanak telah menerima khidmat bantuan awal psikososial.
Katanya, 539 orang menerima intervensi psikologi yang mana 46 kes dirujuk untuk penilaian lanjut.
“Semua kes kanak-kanak dengan gejala keresahan ditindaksusul di klinik pakar psikiatri kanak-kanak,” katanya.
Dalam perkembangan sama Dzulkefly memaklumkan, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang adalah sebanyak 1,138 kes iaitu 1,094 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan 44 lagi dimasukkan ke dalam wad.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih meneruskan pemantauan di lapangan dan orang ramai adalah dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.
“Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











