KUALA LUMPUR 12 Julai – Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membendung masalah dadah di Pulau Langkawi, Kedah sejak awal bulan ini membuahkan hasil apabila tiada lagi penagih dadah berkeliaran di kawasan tumpuan pusat peranginan tersebut.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu adalah hasil pemantauan berterusan yang dibuat oleh pihaknya di beberapa kawasan tumpuan termasuk Bukit Malut, Pulau Tuba, Padang Matsirat, Taman Nilam, Kuah dan Kuala Teriang.
“Jika dahulu penagih berkeliaran di tepi pantai dan beberapa kawasan lain, kini kita dapat lihat mereka semua tidak lagi kelihatan di ‘port’ biasa mereka. Ini kerana kita jalankan operasi secara berterusan dan menempatkan anggota-anggota di jeti, tepi pantai dan ‘sarang’ penagih dadah itu.
“Usaha ini kita akan jalankan sehingga pulau peranginan ini bersih daripada gejala dadah dengan kerjasama daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran dan imigresen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai operasi menggempur aktiviti penyalahgunaan dadah di Pulau Langkawi yang dijalankan sejak awal bulan ini.
Kamarul Zaman memaklumkan, dalam operasi terdahulu, pihaknya telah menahan lebih 140 penagih dadah di pulau peranginan itu dan mendapati kira-kira 80 peratus daripada yang ditahan mengambil dadah heroin.
“Dadah heroin merupakan dadah tradisional dan masih ada peluang untuk dirawat. Kita juga bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi ini dan penagih yang ditahan akan dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk menerima rawatan pemulihan,” ujarnya.
Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.
Menurut Abdul Hamid, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi turut menyuarakan kebimbangan ancaman dadah di Langkawi yang dilihat seolah-olah tidak terkawal. Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.-UTUSAN ONLINE











